Skuad hoki dalam dewan lelaki mampu pertahan gelaran Asia

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih hoki dalam dewan lelaki negara, Rodzhanizam Mat Radzi yakin 12 pemain yang dipilih menggalas tanggungjawab mewakili negara di Piala Asia 2024 mampu mempertahankan gelaran diraih dua tahun lalu.

Menurutnya, beberapa siri perlawanan persahabatan dengan Singapura dan Thailand sudah dilalui dan membantu mereka menilai kelemahan serta kelebihan yang dimiliki untuk dibawa ke Kazakhstan.

“Barisan kejurulatihan dan pengurusan berharap pemain akan memberikan segala-galanya untuk mempertahan kejuaraan, sekali gus melangkah ke Piala Dunia 2025.

“Bagi merealisasikan impian kami ini, doa daripada peminat di tanah air sangat kami harapkan,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Lagi Berita
Lupakan kejayaan di Kemboja, fokus Piala Remaja Asia
Tempoh persiapan perlu lebih lama
Azimuddin, Che Sharul dalam senarai 18 pemain hoki negara
Skuad hoki dalam dewan wanita raih tempat ketiga
Piala Asia 2024 dijadual berlangsung di Taldykorgan, Kazakhstan dari 21 hingga 25 Mei ini dengan kejohanan kali ini menawarkan dua slot ke Piala Dunia 2025 – yang juga menjadi misi ‘serampang dua mata’ buat pasukan negara.

Malaysia mempertaruhkan sembilan pemain yang pernah berada dalam skuad juara 2022 dengan tambahan tiga lagi pemain iaitu Muhammad Aminuddin Mohd Zain (pertahanan), Shazril Irwan Nazli (pertahanan) dan Abdul Khaliq Hamirin (penyerang).

Menerusi undian Persekutuan Hoki Asia (AHF), Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Kazakhstan, Oman dan Indonesia manakala Kumpulan A menyaksikan persaingan antara juara lapan kali Iran, Thailand, Singapura, dan Tajikistan.

“Penilaian menyeluruh kami dari barisan kejurulatihan sudah dilakukan dan dengan adanya sembilan pemain daripada skuad 2022, diharap dapat memperkuatkan lagi pasukan ditambah dengan kehadiran tiga lagi pemain baharu.

“Barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan percaya 12 pemain yang dipilih ini mampu untuk menggalas tugas dengan sebaiknya.

“Pasukan sudah melakukan persiapan rapi merangkumi persediaan kecergasan, teknikal serta taktikal yang telah bermula pada Ramadan lagi,” kata Rodzhanizam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*