Kes kematian Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dihukum gantung

ENAM bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihukum gantung kerana membunuh terhadap Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Mahkamah Rayuan pada Selasa mendapati kesemuanya bersalah dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.

Enam tertuduh ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Keputusan tersebut dibuat sebulat suara melalui panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, lima tertuduh menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem pula didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada November 2021 menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap keenam-enam tertuduh kerana didapati bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah itu juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba.

12 rakan penuntut itu iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail; Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain; Ahmad Shafwan Berdal; Muhammad Amirul Asraff Mala; Luqman Hakim Shamsuri Agus; Muhammad Sufi Mohd Mustapha; Noriznan Izzairi Noor Azhar; Muhamad Ashraf Abdullah; Muhammad Danial Firdaus Azmir; Muhammad Hasif Ismail; Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Allahyarham Zulfarhan yang merupakan Pegawai Kadet Laut UPNM dikatakan didera dengan kesan lecur 80 peratus sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Kesemua bekas penuntut UPNM yang kini berusia 28 tahun, didakwa atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Sumber: Mstar

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*