Ibu doa bomoh ‘petik’ nama Zulfarhan terima balasan setimpal, harap segera bertaubat

UMUM mengetahui kematian menyayat hati Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain berpunca apabila namanya disebut oleh seorang ‘bomoh’ dalam cubaan mengesan pencuri komputer riba (laptop) milik salah seorang pelajar.

Terbaharu, ibu kepada bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu iaitu Hawa Osman berkata dia cukup terkilan dengan tindakan ‘bomoh’ itu hingga membawa kepada kematian anaknya tujuh tahun lalu.

Menerusi video tular di TikTok, Hawa berharap individu berkenaan yang juga bapa kepada salah seorang pelaku menerima balasan dan hukuman setimpal seperti arwah anaknya.

“Saya memang geram dengan bomoh tu. Saya berdoa kepada Tuhan, moga Allah bagi hukuman (supaya) dia juga ada kesan tekapan-tekapan (seterika wap).

“Biar dia rasa bagaimana anak saya rasa,” ujar wanita berusia 61 tahun itu.

 

Menurut Hawa lagi, tindakan ‘bomoh’ itu membuat tuduhan secara nyata terhadap anaknya sehingga menyebabkan kematian adalah satu perbuatan tidak sepatutnya berlaku.

Malah katanya sebagai umat Islam kita sepatutnya memohon petunjuk daripada Allah dan bukannya mengharapkan bantuan ‘bomoh’ semata-mata.

“Bomoh ini kata dia sembahyang hajat menggunakan barang dan kononnya ada nama arwah (Zulfarhan) tentera.

“Selama ini kalau orang pergi jumpa bomoh, bomoh tu hanya akan kata (beri petunjuk) saudara atau orang terdekat sahaja. Tak cakap pun nama,” ujarnya.

Ibu bapa Zulfarhan ketika hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Susulan itu Hawa berharap agar ‘bomoh’ berkenaan segera bertaubat dan tampil memohon maaf kepada mereka sekeluarga kerana menjadi salah satu punca yang membawa kepada kematian Zulfarhan.

“Saya berharap bomoh tu bertaubatlah. Kalau boleh dia datang jumpa kami dan buat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, pada Selasa lalu enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan kerana didapati membunuh Zulfarhan, tujuh tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Keputusan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Mstar

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*