SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membantah hukuman gantung sampai mati ke atas enam pesalah kes bunuh Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Menurut Suhakam, mereka mengerti akan kesedihan yang dilalui keluarga mangsa, namun melihat hukuman berkenaan bukan satu penyelesaian yang adil dan berkesan.
“Walaupun kami dapat merasakan kesedihan dan keperitan keluarga serta mengiktiraf tahap keseriusan jenayah itu, Suhakam tegas dengan pendirian menentang penggunaan hukuman mati.
“Keputusan Mahkamah Rayuan ialah peristiwa yang menyedihkan dalam sejarah kehakiman negara,” ujar Suhakam dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Suhakam lagi, keputusan berkenaan bermakna para pesalah tidak mendapat peluang untuk menjalani proses pemulihan.
“Pemulihan boleh mengubah pesalah menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas tetapi juga membantu mencegah kejadian berulang dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah.
“Sehubungan itu, Suhakam menggesa kerajaan mempertimbangkan semula penggunaan hukuman mati, sebaliknya berusaha ke arah membentuk sistem keadilan yang adil dan berperikemanusiaan,” ujar badan pemerhati hak asasi manusia itu.
Pada Selasa, mStar melaporkan enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihukum gantung kerana membunuh Allahyarham Zulfarhan, tujuh tahun lalu.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya mendapati kesemuanya bersalah dalam kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut UPNM itu dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.
Enam tertuduh ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Allahyarham Zulfarhan didera dengan kesan lecur 80 peratus sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Sumber: Mstar
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply