KUALA KUBU BHARU: Seorang anggota polis daripada Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah, 25.
Tertuduh berusia 26 tahun itu didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabit di ladang SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam di antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.
Dia didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik kertas pertuduhan dibacakan kepada di hadapan Hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Redza, kerana kes itu adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Harun dan Muhammad Azri Zakaria, sementara peguam Aida Zainuddin dan Aida Md Jaafar mewakili tertuduh.
Mahkamah menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan kes, sementara menunggu penyerahan laporan forensik (laporan DNA dan laporan syarikat telekomunikasi).
Ketika dibawa keluar dari mahkamah, seorang anggota keluarga tertuduh dilihat mengangkat tangan tanda memberi semangat kepada Muhammad Alif.
Keluarga tertuduh yang ditemui di perkarangan mahkamah, berkata mereka dinasihatkan untuk tidak memberi sebarang komen oleh peguam.
Sementara itu wakil keluarga mangsa, berkata mereka bersyukur dengan perkembangan kes dan berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan oleh polis.
Ahli keluarga Nur Farah Kartini di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini. – NTSP/Asyraf Hamzah
Ahli keluarga Nur Farah Kartini di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini. – NTSP/Asyraf Hamzah
Ahli keluarga Lans Koperal Alif Monjani di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini. – NTSP/Asyraf Hamzah
Ahli keluarga Lans Koperal Alif Monjani di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini. – NTSP/Asyraf Hamzah
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan kompleks mahkamah di sini pada jam 9.04 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju T serta seluar hitam, sambil dikawal rapi oleh anggota polis.
Masing-masing seorang wakil daripada keluarga mangsa dan keluarga tertuduh juga dilihat memasuki kamar mahkamah sejurus suspek dibawa masuk.
Lebih 30 pengamal media telah memenuhi pekarangan mahkamah bermula seawal jam 7 pagi tadi untuk membuat liputan pendakwaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan suspek yang juga seorang anggota polis akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Hussein juga dipetik berkata, siasatan kes itu telah selesai, dan perselisihan perhubungan dipercayai adalah punca gadis kelahiran Sarawak itu dibunuh.
Pada 15 Julai lalu, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.
Penemuan mayat mangsa adalah hasil soal siasat ke atas suspek yang juga dikatakan kenalan kepada mangsa.
Suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Julai lalu sebelum tempoh reman ke atasnya disambung tujuh hari lagi hingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis Perak mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim, dan sudah lima tahun berkhidmat.
Suspek yang berasal dari Melaka juga sudah mendirikan rumah tangga.
Dalam siasatan kes pembunuhan itu, pasukan penyiasat polis melakukan pelbagai operasi mencari dan mengesan bahan bukti di beberapa lokasi meliputi sekitar daerah Hulu Selangor, Muallim dan Slim River di Perak.
Pencarian yang dijalankan oleh pasukan forensik, termasuk unit skuba itu antara lain membawa kepada penemuan telefon bimbit dalam parit serta kunci kereta dan dompet dalam Sungai Trolak.
Sumber: Berita Harian
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply