Petaling Jaya: Datuk dan nenek kepada kanak-kanak austime, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditahan polis petang ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan itu ditahan jam 2.30 petang tadi.
Menurutnya, penahanan mereka bagi membantu siasatan pembunuhan Zayn.
Sementara itu difahamkan mereka ditahan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Selangor.
Bagaimanapun tidak pasti lokasi mereka ditahan.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, Ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin hanya memberi keterangan dan tidak membuat sebarang pengakuan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Peguam mewakili ibu kanak-kanak itu, Mahmud Jumaat berkata, prosiding hari ini adalah permohonan polis untuk merekod pengakuan bersalah Orang Yang Disyaki (OYDS) mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.
Bagaimanapun, perkara itu dibantah kedua-dua peguam yang mewakili pasangan suami isteri itu.
Beliau berkata, anak guam juga tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Ibu bapa Zayn pula kini masih dalam tahanan reman yang akan tamat esok.
Keputusan sama ada mereka dituduh atau bebas dijangka ditentukan esok.
Pada 7 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Sumber: Harian Metro
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply