Perkembangan kes Zayn Rayyan: Zaim, Ismanira mengaku tidak bersalah abai anak

PETALING JAYA: Ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, terhadap satu pertuduhan iaitu mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu, pada Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari yang memakai baju T berwarna hitam dan Ismanira Abdul Manaf berbaju merah, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka,  Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya, pada jam 12 tengah hari,  antara 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron manakala pembelaan oleh peguam, Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat.

Sumber : Harian Metro

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*